Tuesday, January 13, 2009

Terkini: 905 Syahid, 3,950 Cedera - Berita Harian

BANDAR RAYA GAZA: Jumlah rakyat Palestin yang terkorban dalam perang dilancar Israel ke atas Gaza sejak 17 hari lalu melepasi angka 900 semalam, ketika negara Yahudi itu mengerah askar simpanannya untuk dihantar ke wilayah Palestin berkenaan.


Ketua perkhidmatan penyelamat di Gaza, Muawiya Hassanein, berkata setakat semalam, 905 rakyat Palestin terkorban dan 3,950 cedera.

"Sekurang-kurangnya 277 kanak-kanak adalah antara yang terkorban," katanya.

Sementara itu, tentera Israel yang terus membedil Gaza dari udara dan darat semalam, mengerah askar simpanan ke wilayah Palestin itu, satu petanda yang menunjukkan rejim Zionis berhasrat memperhebatkan serangan dalam Operasi Cast yang dilancar 27 Disember lalu untuk memusnahkan keupayaan Hamas melancar roket.

Tentera Israel masih berkubu di pinggir bandar utama di Gaza, berbalas tembak dari jarak jauh dengan pejuang Palestin.

Seramai 10 askar Israel dan tiga orang awam Yahudi terbunuh sama ada akibat pertempuran atau bedilan roket sejak Gaza diserang.

Di ALGIERS: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menyeru negara Islam bersatu menghentikan 'pemusnahan beramai-ramai' rakyat Gaza, lapor agensi berita Algeria, APS.

"Jika langkah segera pada peringkat global tidak diambil oleh negara bebas dan merdeka bagi menghentikan pengeboman maut Israel ke atas Gaza, rantau ini, dunia Islam dan manusia secara keseluruhannya akan menghadapi bencana secara besar-besaran," kata Ahmadinejad selepas mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Algeria, Abdelaziz Bouteflika.

Sambil menggesa agar semua pihak mengadakan sekatan ekonomi dan politik yang terancang terhadap Israel, Ahmadinejad berkata, Iran akan menawarkan bantuan bagi menentang serangan Israel dan mengelakkan 'satu tahap pemusnahan beramai-beramai' dalam kempen negara Yahudi itu terhadap rakyat Palestin.

Presiden Iran berkata, dunia Islam mempunyai tanggungjawab untuk bertindak, dan menyalurkan semangat dinamik kepada intifada Palestin. -AFP

Israel Tingkat Serangan Udara, Kereta Kebal Ke Gaza - Berita Harian

GAZA: Tentera Israel dan pejuang Palestin dilaporkan berbalas tembakan di sekitar Gaza, awal hari ini,dengan kereta kebal Israel terus menceroboh lebih jauh dalam kawasan Gaza.

Jurucakap tentera mengesahkan pertempuran berlaku di beberapa kawasan sejak Israel melancarkan tindakan balas terhadap serangan roket pejuang Hamas yang kini masuk hari ke-18.

Saksi memberitahu, pasukan khas tentera Israel kini meningkatkan kemasukan mereka ke kawasan yang lebih jauh di selatan Gaza yang berhampiran, Tal Al-Hawa selepas tengah malam tadi.

Ketumbukan tentera itu bagaimanapun cuba dihalang tentera Palestin sehingga berlaku pertempuran sengit.

Tentera sayap Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam berkata, askarnya berjaya memusnahkan dua kereta kebal Israel di Bandar Zeitun menggunakan rocket dan bom (RPGs), tetapi dinafikan Israel.

"Kereta kebal sudah memasuki Tal al-Hawa, Ash Sheikh Ajlin dan Zeitun di kawasan yang lebih jauh lagi," menurut wartawan AFP di tempat kejadian.

"Sementara jet pejuang Israel menggugurkan bom, kereta kebal terus menceroboh ke kawasan lebih jauh di Gaza," katanya. - AFP

Pertempuran Sengit Di Bandar Gaza - Berita Harian

GAZA: Kereta kebal Israel memasuki bahagian bandar Gaza yang padat dengan penduduk dan askar Yahudi bertempur dengan pejuang Hamas ketika pemimpin dunia cuba memujuk kedua-dua pihak menerima gencatan senjata.

Hamas berkata, pejuangannya bertempur dengan tentera Israel yang dibantu helikopter tempur dan bedilan dari kapal tentera laut.

Pertempuran itu adalah yang paling sengit sejak Israel mengerah tentera darat ke Gaza 10 hari lalu.

Bunyi letupan dan tembakan mesingan bergema berterusan di kawasan yang dikuasai Hamas sebelum subuh dengan kilauan cahaya menerangi langit Gaza.

Angka korban Palestin sejak Israel melancarkan serangan udara 18 hari lalu kini melebihi 900 orang manakala hanya 10 tentera Israel dilaporkan terbunuh.- Reuters

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, pula menuju ke rantau itu untuk mengusahakan gencatan senjata dalam rundingan selama seminggu dengan pemimpin Mesir, Israel, Jordan and Syria.

Pasukan Peronda Israel Ditembak Dari Wilayah Jordan - Berita Harian

JERUSALEM: Tentera Israel berkata seorang atau lebih individu bersenjata melepaskan tembakan terhadap pasukan perondanya di sempadannya dengan Jordan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden di kawasan gurun di antara kedua-dua negara berkenaan.

Butiran kejadian masih belum jelas tetapi ketegangan semakin memuncak di rantau itu berikutan serangan ganas Israel terhadap Semenanjung Gaza.

Israel dan Jordan menandatangani perjanjian damai pada 1994 dan kawasan sempadan kedua-dua negara biasanya sepi.

Ahad lalu, insiden serupa berlaku di sempadan Israel-Syria. - AP

Sunday, January 11, 2009

Israel Cadang Serang Kemudahan Nuklear Iran - Utusan Melayu

WASHINGTON 11 Jan. - Akhbar New York Times mendedahkan bahawa Presiden George W. Bush pada tahun lalu telah menolok permintaan Israel untuk menyerang kompleks nuklear Iran kerana berpendapat tindakan itu tidak akan membawa sebarang perubahan.

Sebaliknya, Bush berpendapat usaha yang perlu dilakukan Amerika Syarikat (AS) ialah menyingkirkan mereka yang terlibat dan menyokong usaha pembangunan program nuklear Iran.

Menurut pegawai tertinggi pentadbiran AS, Setiausaha Robert Gates, Bush menolok kemungkinan tindakan itu kerana usaha tersebut didapati tidak akan membawa sebarang kesan dan perubahan.

"Serangan itu sebelum ini telah diperbincangkan dan yakin jika ia berlaku akan membabitkan askar-askar AS termasuk di Iraq dalam serangan berkenaan," katanya.

Robert juga berkata, Presiden Bush dijangka mengambil beberapa tindakan operasi intensif lain bagi menghalang usaha pembangunan program nuklear Iran.

"Ia termasuk memutuskan bekalan tenaga elektrik di rantaian negara luar dan dalam untuk menghalang penjanaan nuklear, termasuk sistem berkomputer di negara tersebut daripada berfungsi.

"AS berharap melalui sekatan ekonomi juga akan memberi tekanan kepada Iran bagi menghentikan program nuklear mereka termasuk tekanan yang lebih kuat kepada sekatan antarabangsa," katanya.

Pegawai AS memetik laporan akhbar New York Times berkata, Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert pada tahun lepas telah menyampaikan hasrat untuk menyerang Iran bagi menghalang program pembangunan senjata nuklear Iran.

Laporan akhbar itu menyebut Olmert telah memaklumkan tindakannya untuk menyerang Iran dengan menjalinkan kerjasama ketenteraan dengan AS bagi menggempur komplek Uranium Natans, Iran.

Tunjuk Perasaan Di Hadapan White House - Utusan Melayu

WASHINGTON 11 Jan. - Ribuan penduduk mengadakan perarakan menuju ke White House sebagai menunjukkan bantahan mereka terhadap serangan Israel di Gaza semalam.

Tunjuk perasan yang sama turut diadakan di Kanada dan ibu kota Mexico.

Menurut pihak penganjur, lebih 10,000 orang penunjuk perasan berhimpun di Lafayette Park sebelum berarak menuju ke White House sambil melaungkan 'bebaskan Palestin'.

Lebih 10,000 penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi di hadapan White House, semalam mengecam keganasan israel di Genting Gaza.

Berpuluh-puluh buah bas membawa penunjuk perasaan datang dari New Jersey dan New York.

Di Montreal, kira-kira 2,000 orang mengadakan demonstrasi mengutuk Israel dan mendesak serangan ke atas Genting Gaza dihentikan.

Penunjuk perasaan di Mexico City pula mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan Amerika Syarikat.

- AFP

Israel Lakukan 'Holocaust' - Hamas

DAMSYIK 11 Dis. - Pemimpin Hamas, Khaled Meshaal menuduh Israel melakukan 'holocaust' di Genting Gaza dan menganggap serangan rejim Yahudi itu hanya sekadar berjaya menenggelamkan wilayah Palestin tersebut dalam "lautan darah."

Khaled dalam ucapannya yang disiarkan secara meluas oleh media Arab semalam berkata, sokongan rakyat Israel terhadap keganasan yang sudah memasuki hari ke-16 itu telah menjejaskan moral negara Yahudi itu.

"Saya ingin bertanya kepada rakyat Israel, apakah yang sudah kamu capai daripada perang yang kamu sokong ini?

"Apakah yang sudah kamu capai, selain membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa dan menyebabkan tengkorak penduduk Palestin berkecai dan memandikan Genting Gaza dengan lautan darah?" kata Khaled yang hidup dalam buangan di Syria.

Rakyat Israel tidak mencapai apa-apa kecuali mendapat holocaust yang hendak dijadikan sebagai bahan politik oleh para pemimpin mereka untuk memenangi pilihan raya Israel yang akan datang, kata pemimpin Hamas itu.

Beliau merujuk kepada peristiwa pembunuhan kira-kira enam juta Yahudi oleh rejim Nazi Jerman semasa Perang Dunia Kedua.

Khaled berkata, Israel sengaja menjadikan penduduk awam sebagai sasaran untuk menghancurkan semangat seluruh penduduk Palestin di Gaza.

Katanya, serangan dahsyat Israel itu telah meleburkan sebarang peluang untuk mewujudkan perdamaian berkekalan antara negara Yahudi itu dengan dunia Arab di sekelilingnya.

"Kamu telah menghancurkan peluang terakhir untuk berunding kerana tiada siapa yang akan mempercayai kamu lagi.

"Kamu perlu mengetahui hukum Tuhan bahawa tidak ada masa depan untuk entiti dan negara yang didirikan atas dasar penindasan dan keganasan. Sama ada Islam, Yahudi atau Kristian, semuanya tertakluk kepada hukum ini," ujar Khaled yang merujuk kata-katanya kepada rakyat Israel.

Katanya, serangan Israel ke atas Gaza juga gagal mencapai objektif ketenteraannya kerana Israel terus dihujani roket Hamas dari Gaza.

- Reuters