LARNACA, Cyprus 15 Jan. - Sebuah bot yang belayar dari Cyprus dengan membawa bekalan ubat-ubatan untuk membantu Gaza semalam dipintas oleh bot laju tentera laut Israel dan disuruh berpatah balik.
Penyelaras pertubuhan hak asasi manusia Free Gaza Movement, Karin Pally berkata, bot berkenaan kini dalam perjalanan pulang setelah beberapa jam belayar.
Kapal Spirit of Humanity sepanjang 22 meter dan didaftarkan di Greece ini memulakan pelayaran ke Gaza dari pelabuhan Larnaca kelmarin selepas terpaksa berpatah balik dua hari lalu akibat masalah generator.
Ia membawa 21 penumpang termasuk aktivis pro-Palestin, ahli politik Eropah dan beberapa orang doktor serta bertan-tan bekalan perubatan seperti kain pembalut luka, beg IV, antibiotik dan ubat-ubatan lain untuk hospital-hospital Gaza.
Pally menjelaskan, bot itu berada di perairan antarabangsa "antara utara Israel dengan Lebanon" apabila dikejar oleh tentera laut Yahudi.
"Mereka telah dikepung bot bersenjata dan berlaku pertengkaran namun tentera laut Israel mengugut untuk melepaskan tembakan atau apa jua cara untuk menghalang penghantaran itu jadi kapal terpaksa berpatah balik," tambahnya.
Kapal itu dijangka tiba semula di Larnaca lewat hari ini.
Cubaan Free Gaza Movement sebelum ini digagalkan apabila kapal perang Israel merempuh sebuah kapal miliknya dan Kementerian Pengangkutan Israel memberi alasan bahawa cubaan untuk tiba ke Gaza sebagai satu tindakan "provokatif dan berisiko."- AFP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment