Sunday, January 11, 2009

Masyarakat Eropah Kecam Israel - Utusan Melayu

LONDON 11 Jan. - Puluhan ribu warga Eropah mengadakan demonstrasi besar-besaran secara serentak bagi mendesak tentera zionis Israel segera menghentikan serangan dan pembunuhan menghapuskan rakyat Palestin di Genting Gaza, semalam.

Perarakan paling besar diadakan di dua ibu kota utama di Eropah iaitu di London dan Paris.

Di London menyaksikan kebencian masyarakat Britain memuncak terhadap kezaliman zionis Israel, apabila penunjuk perasaan membaling batu dan kayu ke arah polis yang mengawal perarakan yang diadakan di luar kedutaan Israel di Jalan Kensington.

Kira-kira 24 penunjuk perasaan di tahan polis.

Pemimpin veteran sayap kiri yang mengetuai demonstrasi, Tariq Ali berkata, 'Yang penting hentikan pembunuhan di Gaza, apa yang berlaku di luar kedutaan Israel ini tiada apa-apa berbanding di Gaza."

Malah pihak penganjur menarik lebih 100,000 orang menyertai perarakan di London yang diadakan di Hyde Park, sebelum bergerak menuju ke kedutaan Israel di Jalan Kensington.

Sementara itu di Paris, kira-kira 30,000 penunjuk perasaan membanjiri ibu kota itu.

Ribuan warga keturunan Arab membawa sepanduk sambil melaungkan 'Allahu Akbar' dan 'Israel pembunuh'.

Penunjuk perasaan turut bertindak merosakkan bas, pondok-pondok telefon dan memecahkan tingkap bangunan kedai sambil membaling botol ke arah polis.

Pihak polis melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan bagi mengawal keadaan.

Lebih 90,000 orang mengadakan protes di lebih 120 buah bandar dan bandar raya di seluruh Perancis.

Sementara itu, tujuh anggota polis cedera dan 11 remaja ditahan dalam protes serupa di bandar Nice, di selatan Perancis, yang disertai 2,500 penunjuk perasaan.

Perarakan besar-besaran turut diadakan di Athens, Berlin, Budapest, Olso, Sarajevo dan Stockholm.

Di Sarajevo, aktivis keamanan, Svetlana Broz berkata, lebih 1,000 penyokong Palestin lebih mengerti 'bila amaran dunia diketepikan dan orang awam terus diseksa' sebagaiamana pembunuhan di bandaraya dalam peperangan yang berlaku ke atas bekas negara Yugoslavia pada tahun 1992-1995.

Lebih 5,000 orang penunjuk perasaan berhimpun di luar kedutaan Israel di Stockholm bagi mendesak rejim zionis segera menghentikan kempen ketenteraan ke atas Gaza, manakala polis Olso melepaskan gas pemedih mata ke arah sekumpulan 2,000 penunjuk perasaan yang membaling batu.

Lebih 6,000 orang lagi berhimpun di Berlin. Perarakan menyokong perjuangan rakyat Palestin turut berlangsung di Munish dan Cologne.

Di Jerman Barat pula, lebih 10,000 orang yang kebanyakannya terdiri daripada komuniti etnik Turki mengadakan tunjuk perasaan di Duisburg.

Lebih 3,500 pencinta keamanan berarak di Innsbruck, barat Austria, sambil membawa sepanduk mendesak 'hentikan keganasan Israel' dan kira-kira 7,000 penunjuk perasaan berarak di sekitar bandar Bern, Switzerland.

Di Athens, lebih 2,000 orang mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan yang dianjurkan kumpulan sayap kiri, manakala ribuan lagi mengadakan demonstrasi di bandar Milan dan Turin.

No comments: