BANDARAYA GAZA: Kereta kebal Israel mara ke kawasan jauh lebih dalam di bandar Gaza awal pagi semalam dan merempuh ke beberapa kawasan penempatan di ibu negara wilayah Palestin ini.
Dentuman tembakan membelah langit bagaikan guruh kuat dan asap hitam tebal terapung di udara di kawasan kependudukan Tal al-Hawa, Zeitun dan Shujaiyeh di bandaraya Gaza, kata saksi.
Pertempuran berlaku di bandar utara Jabaliya dan tentera darat yang dibantu berpuluh-puluh kereta kebal berarak masuk sekurang-kurangnya satu kilometer ke bandar selatan Khan Yunis.
Pada awal pagi semalam, berpuluh-puluh orang awam yang ketakutan, membawa bayi, budak kecil dan anak mereka yang lain cuba mendapat perlindungan di hospital Al-Quds di Tal Al-Hawa, di barat daya bandaraya Gaza, yang berulang kali menjadi sasaran darat Israel sejak minggu lalu.
Bunyi tembakan kereta kebal, serangan udara dan senjata automatik bercampur baur dengan keadaan riuh rendah di kawasan berkenaan dalam pertempuran yang berlaku kira-kira 300 meter dari hospital.
Pejuang bersenjata Hamas berpakaian seragam biru dan hitam, seorang daripada mereka membawa bendera hijau pergerakannya, berlari di jalan raya 100 meter dari hospital, sambil melepaskan tembakan daripada raifal Kalashnikov.
Di hospital, penduduk yang cuba mendapat perlindungan duduk di setiap sudut sementara ibu kelihatan memujuk anak mereka yang menangis dan cuba membuat mereka ketawa.
"Saya membawa anak saya ke hospital kerana mereka terlalu takut di rumah, tapi di sini mereka bertambah takut," kata Hossein, 40, yang melarikan diri ke hospital bersama isteri dan lima anaknya sebaik saja kereta kebal mulai masuk selepas Subuh.
"Rumah jiran kami musnah sama sekali dalam pertempuran itu, menyebabkan kami terpaksa menyelamatkan diri," katanya. -AFP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment