CARACAS 15 Jan. - Venezuela dan sekutunya, Bolivia memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel semalam sebagai membantah keganasan di Genting Gaza dan keengganan rejim Zionis mematuhi seruan gencatan senjata masyarakat antarabangsa.
Tindakan itu menyusuli keputusan Presiden Venezuela, Hugo Chavez pada 5 Januari lalu untuk mengusir Duta Israel di sini, Shlomo Cohen serta tujuh kakitangan kedutaan bagi membantah keganasan rejim Yahudi di wilayah Palestin itu.
"Republik Bolivaria Venezuela, selaras dengan wawasannya untuk melihat keamanan sejagat dan sebagai menyokong dan menghormati hak asasi manusia, mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel," tegas kenyataan Kementerian Luar di sini.
Penindasan
Caracas menjelaskan, keputusan itu diambil disebabkan penindasan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan ke atas rakyat Palestin oleh rejim Israel.
"Israel tidak menghiraukan seruan (gencatan senjata) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berkali-kali dan tanpa segan silu melanggar resolusi yang diluluskan.
"Negara itu juga semakin kerap meletakkan dirinya di luar bidang kuasa undang-undang antarabangsa," menurut kenyataan itu.
Caracas menyifatkan serangan keji Israel ke atas penduduk awam di Gaza sebagai contoh terbaik keganasan berulang kali oleh kerajaan Israel terhadap golongan lemah dan tidak bersalah termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua.
Keputusan Venezuela untuk memutuskan hubungan dengan Israel diambil beberapa jam selepas Presiden Bolivia, Evo Morales mengumumkan, kerajaan beliau memutuskan hubungan diplomatik dengan rejim Yahudi itu.
Morales berkata, kerajaannya bertindak balas terhadap "serangan dahsyat yang dilancarkan oleh Israel ke atas nyawa manusia."
Beliau memberitahu sekumpulan diplomat di La Paz mengenai rancangannya untuk meminta Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague, Belanda supaya mendakwa Israel atas tuduhan mencabuli hak asasi manusia.- AFP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment