LONDON 15 Jan. – Ketua kerajaan Hamas di Genting Gaza, Ismail Haniyeh hari ini membuat seruan langsung kepada pembaca di Barat untuk meminta mereka mendesak Israel menghentikan serangan di wilayah Palestin itu.
Ismail yang menulis dalam akhbar Britain, Independent berkata, Hamas akan mempersetujui gencatan senjata dengan syarat yang ‘jelas lagi mudah’ iaitu sekatan ke atas Gaza ditarik balik, pembukaan semula pintu sempadan dan pengunduran penuh tentera Israel.
“Hanya ada satu jalan ke hadapan, tidak ada jalan lain. Syarat kami untuk mengadakan gencatan senjata baru adalah jelas dan mudah.
“Israel mesti menghentikan perang dan penyembelihan rakyat kami, menarik balik sepenuhnya sekatan haram ke atas Genting Gaza dan tanpa syarat, membuka semua pintu sempadan dan berundur sepenuhnya dari Gaza.
“Selepas itu barulah kami akan menimbangkan langkah seterusnya,” kata Ismail.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa Hamas patut dipersalahkan sebagai punca konflik itu kerana enggan memperbaharui gencatan senjata selama enam bulan pada Disember lalu.
Sebaliknya Ismail menegaskan, Israel telah menjadikan kehidupan di Genting Gaza umpama “neraka dunia” menerusi sekatan ekonomi.
Beliau berkata, rakyat Palestin sangat kesal kerana anggota Kesatuan Eropah (EU) tidak melihat sekatan itu sebagai satu bentuk serangan.
Perdana Menteri Hamas itu berikrar, serangan Israel tidak akan berjaya mencapai objektifnya.
“Rakyat Palestin memperjuangkan kebebasan daripada pendudukan, penubuhan sebuah negara merdeka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara dan kepulangan penduduk yang diusir ke kampung asal mereka.
“Walau apa pun berlaku, tindakan Israel meneruskan pembunuhan beramai-ramai tidak akan mematahkan semangat kami dan tidak akan memadamkan cita-cita kami untuk mencapai kebebasan dan kemerdekaan,” ujar Ismail.– AFP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment