Friday, January 9, 2009

Tel Aviv Musnah 40 Terowong Rahsia Di Rafah - Utusan Melayu

GAZA CITY 8 Jan. - Sekurang-kurangnya 40 sasaran yang disyaki terowong rahsia di sempadan Gaza dan Mesir telah dimusnahkan oleh pesawat tentera Israel sejak malam tadi.

Kebanyakan serangan dilancarkan ke atas Rafah yang sebelum ini diancam akan diserang oleh Israel, dan juga bandar Khan Younis.

Israel juga meneruskan serangan di utara Genting Gaza yang padat dengan penduduk.

Di Rafah, serangan pertama dilaporkan berlaku pada pukul 1 pagi (7 pagi waktu Malaysia) apabila sebuah rumah dan sebuah terowong rahsia dibedil. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Tengah hari semalam, pesawat Israel menggugurkan puluhan ribu risalah di kawasan Rafah memberi amaran supaya mereka meninggalkan rumah masing-masing atau berdepan dengan serangan udara.

Penduduk diberitahu bahawa mereka boleh kembali ke rumah masing-masing pada pukul 8 pagi (pukul 2 petang waktu Malaysia).

Israel menganggarkan kawasan Rafah mempunyai kira-kira 300 terowong rahsia sementara penduduk tempatan memberitahu bahawa 500 laluan bawah tanah wujud dari Gaza ke Mesir.

Ia digunakan untuk membawa masuk bekalan makanan, bahan api dan juga senjata api sejak Hamas merampas kuasa pada Jun 2007.- AFP

No comments: