Thursday, January 15, 2009

Israel Larang Wartawan Asing Masuk Gaza - Utusan Melayu

EL-ARISH, Mesir 14 Jan. - Seramai 17 wartawan dan aktivis media yang 'bersenjatakan' buku nota dan pen menaiki sebuah bas menuju ke Rafah, semalam, kawasan yang memisahkan Mesir dan Gaza untuk mendesak pihak berkuasa membenarkan petugas media masuk ke wilayah itu.

Penganjur perjalanan tersebut, Pusat Kebebasan Media Doha, cuba menolak larangan tentera Yahudi yang tidak membenarkan koresponden asing membuat liputan, walhal mahkamah Israel sendiri memberi keizinan berbuat demikian.

Cubaan itu bagaimanapun gagal dan delegasi tersebut 'berundur' ke sebuah hotel dekat Al-Arish.

"Kami bersikap optimistik. Sekiranya kami dibenarkan masuk, ia adalah peluang kepada kerajaan Mesir untuk menunjukkan mereka bukan seperti yang dikatakan orang lain," kata ketua kumpulan hak asasi media tersebut, Robert Menad ketika dalam perjalanan balik dari sempadan.

Tambah Menad, mereka akan mencuba sekali lagi untuk merentasi sempadan hari ini.

Puluhan agensi berita antarabangsa turut mengeluarkan seruan bersama dengan kumpulan pemantau media global, Reporters Without Borders pada minggu lalu bagi mendesak Israel membenarkan wartawan asing masuk ke Gaza.

"Di Jenin, mereka tidak membenarkan sesiapa masuk menyebabkan khabar angin tersebar luas dan semakin luas," katanya merujuk kepada pertempuran askar Zionis dengan pejuang Palestin di Tebing Barat pada 2002.

Menurut Menad, keadaan itu berbeza sewaktu Perang Lebanon kerana wartawan dibenarkan masuk dan dapat melihat kesan buruk perang serta kecelaruan tentera.

"Kami percaya Zionis mendapati mereka akan kalah sebaik-baik akses dibuka atau ditutup," ujar Menad.

- AFP

No comments: