Friday, January 16, 2009

Amnesty Gesa PBB Kenakan Sekatan - Utusan Melayu

BAITULMAQDIS 15 Jan. - Amnesty International menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan senjata bagi membendung pertumpahan darah di Genting Gaza.

Pertubuhan hak asasi manusia itu turut menyeru Amerika Syarikat (AS) membatalkan rancangan menghantar senjata kepada sekutu rapatnya, Israel.

"Perkara yang paling tidak diingini sekarang ialah kewujudan lebih banyak senjata dan peluru di rantau ini yang kini dibanjiri dengan senjata yang digunakan dengan cara yang menyalahi undang-undang antarabangsa dan mendatangkan kesan dahsyat terhadap penduduk awam di Gaza," kata Pengarah Amnesty bagi Asia Barat, Malcolm Smart.

Amnesty yang berpangkalan di London menyatakan, Majlis Keselamatan PBB hendaklah mengenakan "sekatan senjata yang menyeluruh dengan segera ke atas semua pihak dalam konflik di Gaza."

Tentera AS kelmarin mengumumkan telah membatalkan rancangan untuk menghantar peluru dari pelabuhan di Greece ke sebuah gudang AS di Israel disebabkan bantahan daripada Athens.

Menurut Amnesty, sebuah lagi k apal yang meninggalkan AS dengan membawa bahan letupan dan peluru seminggu sebelum bermulanya konflik di Gaza juga menghala ke pelabuhan Ashdod di Israel, meskipun rancangannya untuk singgah di Greece mungkin diubah.

"Kerajaan AS tidak patut meneruskan penghantaran itu atau penghantaran senjata lain ke Israel manakala kerajaan Greece dan kerajaan lain tidak boleh membenarkan pelabuhan mereka digunakan untuk membawa senjata kepada Israel atau pihak lain dalam konflik itu," kata Smart.

"Sekatan senjata Majlis Keselamatan diperlukan terutamanya untuk menyekat bekalan senjata baru kepada kedua-dua pihak, selain menghantar isyarat tegas kepada Israel dan Hamas mengenai tekad Majlis Keselamatan untuk menegakkan undang-undang antarabangsa," ujar beliau.- AFP

No comments: