NEW YORK 15 Jan. - Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) mengadakan Sesi Tergempar Khas hari ini untuk menuntut gencatan senjata diadakan segera di Genting Gaza.
Sesi itu dijadual berlangsung sewaktu Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon melakukan lawatan ke Asia Barat untuk menggesa ditamatkan konflik yang sudah masuk hari ke-20 itu.
"Sidang itu diadakan untuk menghantar mesej tegas bahawa masyarakat antarabangsa menyokong penuh gencatan senjata segera," kata Enrique Yeves, jurucakap bagi Presiden UNGA, Miguel d'Escoto Brockmann yang merupakan diplomat dari Nicaragua.
Sesi Tergempar Khas UNGA yang diatur atas permintaan Malaysia, Indonesia, Iran, Syria, Venezuela dan negara-negara berkecuali lain dijangka berlangsung sehingga esok dan membawa kepada pengundian mengenai resolusi yang dibentangkan, kata jurucakap itu.
Resolusi UNGA tidak mempunyai kekuatan undang-undang, berlainan dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB.
Sidang hari ini dijangka menyaksikan beberapa negara anggota PBB menyuarakan kutukan keras terhadap keganasan Israel di Gaza ketika timbul kebimbangan semakin mendalam dengan angka kematian penduduk awam yang kian meningkat di wilayah Palestin itu.
Sidang itu pada mulanya dijadual diadakan minggu lepas tetapi ditangguhkan selepas Majlis Keselamatan bersidang dan meluluskan resolusi gencatan senjata menuntut pengunduran tentera Israel dari Gaza, kata Yeves semalam.
Resolusi Majlis itu bagaimanapun tidak dipedulikan oleh Israel dan Hamas.- AFP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment