Friday, January 16, 2009

Jenayah Perang: ICC Didesak Siasat Israel - Utusan Melayu

THE HAGUE 14 Jan. - Sebuah pertubuhan hak asasi manusia Palestin meminta Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague melancarkan siasatan terhadap Israel kerana melakukan jenayah perang semasa kempen serangannya di Genting Gaza.

Peguam Palestin, May Sobhi Khansa yang mengetuai Perikatan Antarabangsa menentang Kezaliman menyerahkan petisyen 25 muka kepada pegawai ICC semalam untuk menggesa ICC memasuki Gaza dan menyiasat "kematian dan kecederaan ratusan penduduk Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak."

"Mereka menggunakan senjata pengganas untuk melakukan jenayah kemanusiaan," kata peguam itu.

Pegawai ICC enggan mengulas mengenai petisyen tersebut atau menyatakan sama ada ICC akan mengambil tindakan.

Ditubuhkan pada 2000, ICC ialah mahkamah tetap pertama di dunia didirikan untuk menyiasat dan mendakwa kes jenayah perang.

Israel dan Amerika Syarikat (AS) bukan antara 108 negara yang telah menandatangani Statut Rom yang membawa kepada penubuhan ICC tetapi keadaan itu tidak akan menghalang ICC daripada melancarkan siasatan.

May berkata, ICC juga perlu mendakwa para pemimpin Israel dan AS kerana jenayah perang dan pertubuhan beliau merancang untuk memfailkan tindakan saman terhadap Israel di mahkamah beberapa negara.- Reuters

No comments: