Sunday, January 11, 2009

Israel Cadang Serang Kemudahan Nuklear Iran - Utusan Melayu

WASHINGTON 11 Jan. - Akhbar New York Times mendedahkan bahawa Presiden George W. Bush pada tahun lalu telah menolok permintaan Israel untuk menyerang kompleks nuklear Iran kerana berpendapat tindakan itu tidak akan membawa sebarang perubahan.

Sebaliknya, Bush berpendapat usaha yang perlu dilakukan Amerika Syarikat (AS) ialah menyingkirkan mereka yang terlibat dan menyokong usaha pembangunan program nuklear Iran.

Menurut pegawai tertinggi pentadbiran AS, Setiausaha Robert Gates, Bush menolok kemungkinan tindakan itu kerana usaha tersebut didapati tidak akan membawa sebarang kesan dan perubahan.

"Serangan itu sebelum ini telah diperbincangkan dan yakin jika ia berlaku akan membabitkan askar-askar AS termasuk di Iraq dalam serangan berkenaan," katanya.

Robert juga berkata, Presiden Bush dijangka mengambil beberapa tindakan operasi intensif lain bagi menghalang usaha pembangunan program nuklear Iran.

"Ia termasuk memutuskan bekalan tenaga elektrik di rantaian negara luar dan dalam untuk menghalang penjanaan nuklear, termasuk sistem berkomputer di negara tersebut daripada berfungsi.

"AS berharap melalui sekatan ekonomi juga akan memberi tekanan kepada Iran bagi menghentikan program nuklear mereka termasuk tekanan yang lebih kuat kepada sekatan antarabangsa," katanya.

Pegawai AS memetik laporan akhbar New York Times berkata, Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert pada tahun lepas telah menyampaikan hasrat untuk menyerang Iran bagi menghalang program pembangunan senjata nuklear Iran.

Laporan akhbar itu menyebut Olmert telah memaklumkan tindakannya untuk menyerang Iran dengan menjalinkan kerjasama ketenteraan dengan AS bagi menggempur komplek Uranium Natans, Iran.

No comments: