Friday, January 16, 2009

RM24.5j Dana PBB Bantu Gaza - Berita Harian

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperuntukkan AS$7 juta (RM24.5 juta) daripada tabung daruratnya bagi membantu menyediakan makanan dan air bersih di Gaza, wilayah sasaran Israel yang mengorbankan lebih 1,000 rakyat Palestin.

"Peruntukan itu akan juga digunakan bagi memperbaiki tempat perlindungan yang musnah, membekalkan bahan api untuk menjana stesen pengepam air dan hospital, membekalkan air bersih dan membiayai makanan siap dimasak," kata Ketua Hal Ehwal kemanusiaan PBB, John Holmes.

Serangan udara dan darat Israel dilakukan ke atas Gaza sejak 27 Disember lalu dan menurut Holmes, kira-kira 500,000 orang di Gaza tiada kemudahan air bersih.

Holmes juga memberitahu mesyuarat Majlis Keselamatan bahawa harus ada usaha berlipat ganda bagi menghormati undang-undang kemanusiaan di zon peperangan seperti Gaza.

"Kita lihat apa yang berlaku di Gaza dalam tempoh tiga minggu lalu dan menyatakan apakah Israel atau Hamas menghormati peraturan kemanusiaan sepenuhnya? Saya fikir tidak," katanya, sambil membuka ruang perdebatan mengenai perlindungan terhadap orang awam dalam peperangan itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kemudian kelmarin, Majlis Keselamatan berkata, ia memang komited menangani kesan pertempuran bersenjata terhadap orang awam.

Kenyataan itu menyatakan Majlis Keselamatan begitu terharu dengan kejadian orang awam "terus menjadi mangsa paling ramai berikutan keganasan yang dilakukan oleh mereka yang terbabit dalam peperangan."

Agensi PBB, Unicef, berkata lebih 300 kanak-kanak terkorban dan lebih 1,500 tercedera di Gaza.

"Di samping itu, ada keperluan segera bagi kanak-kanak yang kehilangan rumah, tiada air, elektrik dan ubat-ubatan, serta di sebalik parut dan kecederaan ngeri yang dialami mereka, adalah kesan psikologikal yang lebih mendalam," kata Pengarah Eksekutif Unicef, Ann Veneman. – Reuters

No comments: