GENTING GAZA 8 Jan. - Jet-jet pejuang Israel terus membedil Genting Gaza hari ini dan kereta kebal negara Yahudi itu terus melepaskan tembakan ke arah pejuang Palestin ketika Amerika Syarikat (AS) menyokong usul gencatan senjata yang mungkin menamatkan konflik berkenaan.
Penduduk Gaza menyifatkan serangan Israel malam tadi di bahagian timur bandar ini sebagai yang paling dahsyat sejak 13 hari lalu, sementara di kawasan selatan, barisan kereta kebal Israel mara ke arah bandar Khan Younis.
Walaupun Israel meneruskan serangan, ia menyatakan telah menerima 'prinsip' cadangan gencatan senjata oleh Eropah-Mesir, malah AS sendiri mendesak Israel mengkaji cadangan tersebut.
"Kami menyokong inisiatif tersebut. Saya telah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan dari negara-negara Arab dan juga Israel mengenai kepentingan gencatan senjata," kata Setiausaha Jabatan Negara AS, Condoleezza Rice.
Serangan Israel diteruskan selepas dihentikan seketika semalam bagi membantu 1.5 juta penduduk Gaza untuk mencari bekalan yang diperlukan.
Ia adalah "waktu rehat" pertama dalam serangan yang masuk minggu kedua dan telah meragut lebih 700 nyawa penduduk Palestin.
Namun dengan usia pentadbiran Presiden AS, George W. Bush yang tinggal beberapa hari saja lagi dan bakal pengganti beliau, Barack Obama yang menyeru ke arah keamanan, pegawai menyatakan, Israel akan menghantar wakilnya ke Kaherah untuk membincangkan bagaimana usul oleh Mesir dapat dilaksanakan.
Proses ini memakan masa beberapa hari dan pada ketika ini komander tentera Israel memperhebat serangan darat walaupun keputusan melancarkan fasa baru serangan ke atas pejuang dibatalkan.- Reuters
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment