GAZA: Seorang askar Israel dilaporkan terbunuh di sempadan Gaza berikutan serangan bom pejuang Palestin, sekali gus mengancam gencatan senjata yang diisytihar lebih seminggu lalu.
Seorang petani Palestin kemudian terbunuh akibat tembakan balas Israel.
Ia adalah pertempuran pertama sejak Israel menamatkan serangan ganas selama 22 hari pada 18 Januari lalu dan berlaku menjelang lawatan wakil Asia Barat kepada Presiden Amerika Syarikat, George Mitchell, ke rantau itu.
Semalam, Barack Obama, menyatakan sekarang adalah waktu yang sesuai untuk menyambung semula rundingan damai bagi rantau itu.
Tentera Israel menyatakan sebutir bom diletupkan terhadap pasukan peronda di sebelah pagar sempadannya dekat Kissufim di tengah Semenanjung Gaza.
Penduduk Palestin berhampiran kawasan itu pula berkata mereka melihat sekumpulan dua atau tiga pejuang bergerak ke arah sempadan itu sebelum kedengaran letupan dan tembakan sejurus jam 8 pagi (2 petang waktu Malaysia).
Namun, mereka tidak pula melihat pejuang terbabit pulang selepas pertempuran itu.
Berikutan itu, Israel bertindak menutup pintu sempadan itu yang digunakan bagi membawa masuk bantuan kemanusiaan kepada 1.5 juta penduduk Gaza. - Reuters
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment