BAITULMAQDIS: Pada awalnya ia tidak kelihatan sesuatu yang luar biasa apabila wajah kepemimpinan Hamas muncul di rangkaian televisyen pergerakan itu, tetapi kemudian mereka ditembak satu persatu sambil mesej dipancarkan yang memberi amaran kumpulan Palestin itu sudah kesuntukan masa.
Malah, ketika kereta perisai dan tentera darat Israel menceroboh jauh ke dalam Semenanjung Gaza dalam usahanya menghentikan pelancaran roket oleh pejuang ke wilayah Israel, perang turut disertakan dengan operasi psikologikal bertujuan melemahkan moral kedua-dua pihak.
Di stesen radio Voice of Jerusalem milik Jihad Islam di Semenanjung Gaza, penyampai, Kamal Abu Nasser, berkata sekurang-kurangnya sekali sejam, tentera Israel turut mengganggu isyaratnya dan menyiarkan mesej menyalahkan Hamas di atas masalah setiap orang.
Hamas pula berkata ia menyiarkan mesej pada walkie talkie tentera Israel yang mengancam untuk menculik dan membunuh tentera Israel. Tentera berkata, ia tiada maklumat mengenai perkara itu.
Nasib Sarjan Gilad Shalit, yang ditawan oleh pejuang dikaitkan dengan Hamas pada 2006 dan masih tidak tahu di mana dia berada, berulang kali ditimbulkan dalam siaran dan kenyataan Hamas, yang beberapa kali mengancam menculik lebih ramai tentera Israel.
Hamas cuba menyebarkan khabar angin ia sudah menculik beberapa tentera Israel. Tentera Yahudi pula berkata, sekurang-kurangnya satu cubaan berjaya dipatahkan.
Jurucakap tentera Israel, Brig Jeneral Ilan Tal, berkata beliau tidak akan memberi komen mengenai operasi psikologi Israel.
"Jika bercakap mengenai perang psikologi, kita perlu belajar daripada apa yang Hamas lakukan. Kami menjangkakan Hamas akan meneruskan khabar angin mengenai penculikan ketika keadaan semakin kritikal," katanya.
Muslihat Hamas berpanjangan ke medan perang ketika ia cuba memerangi tentera Yahudi yang semakin ramai.
Jurucakap tentera rejim Zionis, Mejar Avital Leibovich, memberitahu Associated Press, tentera Israel mendapati kawasan penempatan Gaza dipenuhi jerangkap samar, termasuk patung yang diletakkan di pintu masuk pangsapuri dan meletup apabila dimasuki tentera.
Tentera Israel membentuk unit operasi psikologi tiga tahun lalu walaupun usaha awalnya dalam perang Lubnan 2006 terhad kepada cuba melakar kartun sindiran pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah dan menggugurkan ia di selatan Lubnan. -AP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment