Sunday, January 11, 2009

Kereta Perisai Israel Menuju Ke Bandar Utama Genting Gaza - Utusan Melayu

BANDAR GAZA 11 Jan. - Askar dan kereta berperisai Israel hari ini mara semakin jauh ke dalam Genting Gaza menuju ke bandar utama, memaksa penduduk awam Palestin yang panik melarikan diri, selepas rejim Zionis itu memberi amaran akan memperhebatkan serangan ke atas Hamas.
Dua remaja Palestin tidak dapat menahan kesedihan melihat mayat rakan-rakan mereka yang ditempatkan di hospital al-Shifa di bandar Gaza yang terbunuh dalam serangan udara Israel, semalam.

Ketika kedua-dua pihak terus bertempur tanpa menghiraukan rayuan masyarakat antarabangsa supaya menghentikan konflik yang sudah membunuh lebih 850 rakyat Palestin, Mesir meneruskan usaha untuk merundingkan gencatan senjata antara Israel dengan pergerakan pejuang itu.

Berpuluh-puluh penduduk Palestin yang mendukung kanak-kanak kecil dan membawa beg yang dikemas secara tergesa-gesa mula meninggalkan rumah mereka di kawasan kediaman Tal al-Hawa, pinggir barat daya Bandar Gaza sejurus selepas subuh, kata saksi.

Mereka melarikan diri selepas kebanyakan penduduk tidak dapat tidur sepanjang malam kerana pertempuran sengit antara askar Israel dengan pejuang Palestin.

Kereta kebal dan unit infantri Israel memasuki kawasan kediaman Sheikh al-Ajlin di bandar ini malam tadi untuk mara lebih hampir ke tengah-tengah pusat penduduk utama di Genting Gaza.

Bedilan sengit turut dilaporkan berlaku di kawasan kediaman Zeitun, tenggara bandar ini serta kawasan Sudaniyah di barat laut.

Pesawat perang Israel mengebom kira-kira 60 sasaran di seluruh Genting Gaza sejak malam tadi sehingga awal hari ini.

Pasukan perubatan Palestin berkata, sekurang-kurangnya empat penduduk Palestin dan puluhan lagi cedera dalam serangan itu.

- AFP

No comments: