Sunday, January 11, 2009

Israel Guna Peluru Kimia - Utusan Melayu

BANDAR GAZA 11 Jan. - Tiga rakyat Palestin terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam serangan udara dan tembakan meriam kereta kebal Israel di Genting Gaza awal hari ini, sesetengah dipercayai terkena peluru meriam mengandungi fosforus putih yang diharamkan di bawah undang-undang antarabangsa.

Kepulan asap tebal memenuhi ruang udara di bandar Jabalia, utara Gaza setelah jet perang israel menggugurkan berpuluh-puluh bom di bandar itu, semalam.

Doktor Yusef Abu Rish di hospital Nasser di sini berkata, seorang wanita terbunuh dan sekurang-kurangnya 60 lagi cedera akibat tembakan meriam kereta kebal di kampung Khuzaa, timur Khan Younis.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya 55 orang cedera terkena peluru mengandungi fosforus putih, bahan yang diharamkan untuk kegunaan terhadap orang awam tetapi dibenarkan untuk tujuan mewujudkan adang asap.

"Tubuh mereka mengalami kebakaran yang hanya boleh disebabkan oleh fosforus putih," kata Yusef.

Dakwaan beliau disokong oleh ketua perkhidmatan kecemasan di Gaza, Dr. Muawiya Hassanein yang berkata, senjata sedemikian digunakan oleh tentera Israel dalam kempennya di Gaza.

Pertubuhan hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW) yang beribu pejabat di New York juga menuduh Israel menggunakan peluru mengandungi fosforus putih dan memberi amaran kepada rejim Yahudi itu mengenai kesengsaraan yang dialami oleh orang awam Palestin kerana kebakaran teruk disebabkan bahan mudah terbakar itu.

Fosforus putih biasanya digunakan sebagai adang asap atau bahan pembakar tetapi boleh juga digunakan sebagai senjata yang boleh menyebabkan kebakaran yang membawa maut.

Dalam kejadian berasingan, dua rakyat Palestin terkorban apabila jip yang mereka naiki dibedil oleh pesawat perang Israel di barat bandar ini, kata pasukan perubatan.

- AFP

No comments: