JABALIYA 20 Jan. - Kemusnahan yang berlaku di Genting Gaza akibat bedilan Israel selama lebih tiga minggu, digambarkan sebagai sepuluh kali lebih dahsyat daripada gempa bumi.
Rumah, kilang dan pohon zaitun yang dahulunya berdiri tegak di sebuah kawasan di pekan utara Gaza ini habis musnah dan kini hanya tinggal timbunan runtuhan.
"Kemusnahan ini sepuluh kali lebih dahsyat daripada apa yang berlaku selepas gempa bumi," kata seorang jurutera, Ashraf Faraj, 42.
Tidak ada sebuah pun bangunan yang masih berdiri sejauh beberapa ratus meter di kawasan perumahan Qirem dan Abed Rabbo di pekan ini,.
Jabaliya adalah antara kawasan pertama yang dicerobohi oleh tentera Israel yang membedil wilayah ini selama 22 hari dalam usaha untuk menumpaskan pejuang Hamas.
Seorang ahli perniagaan, Mohammad Hassan yang berumur 52 tahun tidak dapat menahan sebak apabila melihat kemusnahan di depan matanya.
Beliau telah kehilangan segala-gala termasuk rumahnya, depot tempat beliau menyimpan barang serta hotel yang dibinanya sebagai tempat penginapan untuk pelanggan.
"Mengapa mereka memusnahkan segala-galanya," rintih Mohammad yang lebih dikenali sebagai Abu Rami, tokoh popular di wilayah miskin ini.
Anggaran pertama oleh penaksir bebas menunjukkan, aset bernilai hampir AS$2 bilion (RM7 bilion) hancur musnah di Gaza, termasuk 4,100 rumah, 1,500 kilang dan bengkel, 20 masjid, 31 pejabat keselamatan dan 10 saluran bekalan air atau kumbahan.
Kebanyakan penduduk Gaza seperti Mohammad menjadi bingung melihat kemusnahan begitu meluas dan berkata, mereka tidak tahu bagaimana hendak memulakan kerja pembersihan. - AP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment