KAHERAH 14 Jan. - Negara-negara Arab bertelagah sesama sendiri berhubung rancangan mengadakan sidang kemuncak untuk membincangkan krisis di wilayah Palestin sekarang.
Negara rantau Asia Barat yang besar seperti Mesir dan Arab Saudi yang menentang penguasaan Hamas ke atas Gaza, semalam menggesa ke arah gencatan senjata segera serta menyatakan kesediaan menghadiri sidang kemuncak Liga Arab di Kuwait pada minggu depan.
Cadangan Kuwait itu akan menggabungkan perbincangan mengenai serangan Israel ke atas Gaza, yang masuk hari ke-19 dengan sidang kemuncak ekonomi yang telah dirancangkan lebih awal.
Qatar pula meminta kesemua 22 anggota Liga Arab di Kaherah agar mengadakan sidang tergempar mengenai Gaza dan ia mendapat sokongan daripada Syria yang merupakan penyokong kuat Hamas.
Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Mussa memberitahu pemberita semalam bahawa pertubuhan itu menerima 12 persetujuan mengenai perlunya sidang kemuncak mengenai Gaza diadakan.
Namun, ramai diplomat yang mendakwa Mesir dan Arab Saudi merasakan sidang sedemikian tidak membuahkan hasil, malah memberi gambaran bahawa pemimpin Arab sebagai tidak cekap.
Pegawai Mesir turut menuduh Qatar dan Syria sebagai cuba mencari jalan untuk memalukan Kaherah.
Duta Arab Saudi ke Liga Arab sebelum ini pernah menyatakan rasa tidak senang dengan cadangan Qatar dan menyifatkannya sebagai 'bukan kepentingan terhadap perpaduan Arab' untuk mengadakan dua sidang kemuncak pada satu masa.
Mesir pada awalnya bersetuju untuk satu rundingan tidak rasmi antara pemimpin Arab dalam sidang kemuncak ekonomi di Kuwait pada 18 Januari ini dan Arab Saudi juga membuat keputusan serupa semalam.
- Reuters
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment