KAHERAH: Doktor yang mengendalikan satu-satunya mesin pengimbas otak di hospital di Mesir berhampiran Gaza terkejut apabila mendapati ramai kanak-kanak Palestin yang tiba dengan peluru berada di dalam kepala.
Dalam masa sehari minggu lalu, kakitangan Hospital -Al Arish di Sinai dipanggil untuk mengadakan imbasan CAT pada seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun, dua mangsa berusia 10 tahun dan seorang remaja 14 tahun, setiap seorang dengan peluru terlekat pada otak selepas diserang oleh tentera Israel dalam operasi mereka di Gaza.
Pegawai Israel, bagaimanapun terus bertegas menafikan tentera sengaja mensasarkan penduduk awam sebaliknya menyalahkan Hamas kerana berlindung di dalam rumah penduduk Gaza dan menjadikan mereka sebagai perisai manusia.
Beratus-ratus mangsa kekejaman Israel dipindahkan menyeberangi sempadan Mesir di Rafah untuk mendapatkan rawatan segera.
Antara mereka yang tiba minggu lalu adalah Anas Haref, sembilan tahun, yang tiba dengan peluru di dalam otaknya. Ketua trauma kepala hospital berkenaan, Dr Ahmad Yahia, memberitahu nenek mangsa bahawa cucunya dijangka tidak hidup lama.
"Peluru itu merosakkan sebahagian besar otaknya. Ia menembusi dinding tengkorak dan terus ke bahagian bawah," katanya.
Dr Yahia, yang juga pakar bedah saraf, percaya Haref ditembak dari jarak dekat.
"Jika perubahan dalam otak berlaku begitu teruk bermakna kuasa penyerapannya juga tinggi. Saya tidak dapat memutuskan dengan tepat sama ada kanak-kanak ini sengaja ditembak tetapi dalam sesetengah kes peluru datang dari arah depan dan pergi ke arah belakang yang membuatkan saya rasa senjata diarahkan betul-betul kepada mereka," katanya.
Ketua pasukan perubatan di hospital itu, Dr Ayman Abd Al Hadi, pula berkata: "Pernah sekali kami menerima kanak-kanak dengan dua peluru di dalam kepalanya. Keadaan itu pasti menngesahkan sesuatu."
Beliau turut memuji pasukan perubatan di Gaza kerana dapat menyelamatkan banyak nyawa di sebalik kekurangan kakitangan, bekalan dan peralatan.
"Namun cuma peratusan kecil kanak-kanak dapat selamat dari kecederaan peluru di dalam kepala. Jika tiga kanak-kanak selamat, mungkin 97 lagi masih berada di Gaza tidak bernasib baik," katanya.
Sementara itu di BAITULMAQDIS, pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International semalam menuduh Israel melakukan jenayah peperangan, dan menyatakan penggunaan fosforus putih di kawasan kependudukan padat di Gaza adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
Fosforus putih adalah bahan yang mudah terbakar dan bercahaya terang serta boleh bertahan lama.
"Penggunaan senjata ini dengan meluas di kawasan kependudukan tinggi di Gaza adalah tidak wajar," kata Donatella Rovera, penyelidik Asia Barat Amnesty International.
"Penggunaannya ke atas orang awam adalah jenayah perang," katanya. AP/Agensi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment