Friday, January 16, 2009

Kereta Kebal Israel Mara Jauh Ke Dalam Gaza - Utusan Melayu

GAZA CITY 15 Jan. - Beratus-ratus penduduk awam yang ketakutan melarikan diri hari ini apabila kereta kebal Israel mara semakin jauh ke dalam ibu kota Genting Gaza ini dan mencetuskan pertempuran sengit dengan pejuang Hamas.

Berpuluh-puluh kereta kebal dengan bantuan pesawat perang dan helikopter pembedil mara ke tengah kawasan kediaman Tal alHawa di barat laut bandar ini.

Kemaraan tentera darat Israel itu adalah yang paling jauh setakat ini dalam kempen keganasannya yang sudah masuk hari ke-20.

Pejuang Palestin menyambut tentera Zionis yang mara itu dengan melancarkan mortar dan roket pemusnah kereta kebal.

Tentera Zionis membalas serangan dengan tembakan meriam kereta kebal manakala pesawat perangnya melancarkan peluru berpandu ke kawasan pertempuran.

Satu barisan kereta kebal kelihatan di sebuah taman di tengah-tengah kawasan kediaman itu.

Ratusan keluarga yang ketakutan melihat situasi terbaru itu melarikan diri ke tengah Gaza City.

Berpuluh-puluh lagi mencari perlindungan di dalam Hospital Al-Quds di Tal al-Hawa.

Kereta kebal Israel turut kelihatan di kawasan kediaman Zeitun dan Al-Shujaniya di pinggir bandar ini sementara pertempuran dilaporkan di pekan Jabaliya dan Beit Lahiya, utara Gaza, menyebabkan seorang wanita dan tiga kanak-kanak terbunuh.

Kereta kebal juga mara jauh ke dalam bandar Khan Younis, selatan Gaza, mencetuskan pertempuran sengit di sana.

Pekarangan utama bangunan Agensi Bantuan dan Perkhidmatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) di bandar ini turut terkena bedilan, kata seorang jurucakap.

Sejak Israel melancarkan Operasi Cast Lead ke atas Gaza pada 27 Disember lalu, sekurang-kurangnya 1,054 penduduk Palestin terkorban, termasuk 355 kanak-kanak dan 100 wanita, manakala lebih 4,870 lagi cedera, kata pasukan perubatan Gaza.

- AFP

No comments: