Monday, January 19, 2009

Yahudi Israel Gagal Capai Matlamat Di Gaza - Berita Harian

BANDARAYA GAZA: Gaza mulai menikmati ketenangan bagi malam kedua semalam apabila askar Israel berundur selepas mengasak wilayah Palestin itu selama 22 hari, berikutan persetujuan rejim Yahudi itu dan Hamas untuk mengadakan gencatan senjata secara bersendirian.

Israel menyatakan ia berhasrat meninggalkan Gaza seberapa segera yang boleh selepas melakukan serangan maut paling dahsyat sehingga mengakibatkan kemusnahan teruk di Gaza, pertempuran yang disifatkan oleh pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh sebagai 'kemenangan hebat'.

"Tuhan memberi kami kemenangan, bukan hanya untuk satu kumpulan, atau parti, atau kawasan, tapi untuk seluruh rakyat kami," kata Ismail, Perdana Menteri Hamas dalam perutusan menerusi televisyen.

"Kami sudah berjaya menghentikan serangan dan pihak musuh gagal mencapai matlamatnya," katanya.

Sementara itu di Tel Aviv, seorang Ahli Parlimen Israel, Yisrael Katz mengakui mengenai kegagalan serangan tentera Zionis itu ke atas Semenanjung Gaza, dan menegaskan bahawa Israel tidak mencapai matlamatnya dalam pertempuran yang mengakibatkan ratusan askarnya cedera.

Katz berkata tindakan tentera di Gaza tidak berjaya selepas Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert mengumumkan gencatan senjata bersendirian.

Negara Zionis itu juga tidak berjaya menghapuskan kekuatan kumpulan penentang Palestin mahupun mencapai hasratnya agar pembekalan senjata ke Gaza dihentikan.

Negara haram Zionis itu juga gagal membebaskan askarnya, Gilad Shalit, menurut sidang akhbar al-Qassam, sayap udara Hamas dalam laman webnya semalam.

Al-Qassam juga memetik akhbar The Observer di London sebagai melaporkan pertempuran di Gaza mengakibatkan kekalahan moral kepada negara Yahudi itu.

Akhbar itu berpendapat konsep yang menyatakan kononnya masalah keselamatan dapat diselesaikan dengan cara kekerasan adalah khayalan pemikiran ahli politik Israel semata-mata.

Dalam pada itu anggota perubatan di Semenanjung Gaza mengambil kesempatan gencatan senjata untuk mencari mangsa di tempat yang sukar dicapai, dan mengeluarkan sekurang-kurangnya 98 mayat dari timbunan runtuhan, termasuk beberapa kanak-kanak.

Penemuan lebih banyak mangsa maut menjadikan jumlah mereka yang terkorban dalam serangan Israel itu sejak 27 Disember lalu kepada lebih 1,300 orang, kata pegawai perubatan. – AFP

No comments: