BEIRUT 8 Jan. - Tiga roket Katyusha dilancarkan ke utara Israel dari selatan Lebanon hari ini, disusuli dengan tentera rejim Zionis membalas serangan itu dengan tembakan mortar ke seberang sempadan Lebanon.
ORANG ramai membantu seorang penduduk Palestin yang cedera parah setelah kawasan rumahnya di Beit Lahiya, utara Genting Gaza dibedil peluru berpandu tentera rejim Israel, semalam.
Pertempuran singkat itu adalah yang pertama di kawasan sempadan Israel-Lebanon sejak Israel mula melancarkan serangan besar-besaran ke atas kedudukan Hamas di Genting Gaza pada 27 Disember lalu, dalam keganasan yang telah membunuh lebih 700 rakyat Palestin.
Sementara itu, Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) menghentikan semua operasi bantuan di Genting Gaza berikutan serangan tentera Yahudi yang semakin mengganas.
Serangan Israel hari ini turut mengorbankan dua orang pekerja bantuan UNRWA dalam satu konvoi bantuan, hari ini.
Sekolah yang diuruskan UNRWA turut musnah dibedil Israel mengorbankan 48 orang kelmarin.
Dalam pada itu, media Israel lewat hari ini melaporkan pejuang Palestin di Lebanon melancarkan satu lagi serangan roket ke utara Israel.
Belum dapat dikenal pasti pihak yang melancarkan roket dari Lebanon itu dan sama ada insiden tersebut menandakan permulaan konflik lebih luas.
Namun, pertempuran itu sudah pasti meningkatkan ketegangan antara pergerakan Hizbullah di Lebanon dengan Israel, selepas kedua-dua pihak sejak beberapa hari lalu hanya menyuarakan ancaman terhadap satu sama lain tanpa melancarkan serangan.
Kerajaan Lebanon sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pihak yang melancarkan roket tersebut.
Pegawai Beirut berkata, roket Katyusha itu dilancarkan ke Israel dari kawasan di sebelah utara Kampung Naqoura di tepi pantai Lebanon.
Tentera Israel membalas serangan itu dengan melepaskan enam tembakan mortar ke selatan Lebanon tetapi belum ada laporan mengenai kemalangan jiwa.
Stesen televisyen melaporkan, peluru mortar itu mengenai sebuah lembah dekat sebuah kampung kira-kira tiga kilometer ke utama sempadan Israel.
Polis Israel berkata, sekurang-kurangnya tiga roket mengenai kawasan di sekitar pekan Nahariya, utara Israel pada pagi ini.
Pasukan penyelamat melaporkan sekurang-kurangnya seorang cedera ringan.
Belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab melancarkan roket tersebut.
Hizbullah yang merupakan sekutu rapat Hamas tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan stesen televisyennya hanya menyiarkan laporan mengenai insiden pertempuran itu.
Beberapa kumpulan pejuang Palestin juga berpangkalan di Lebanon.
Barisan Rakyat bagi Pembebasan Palestin-Pemerintah Am memberi amaran akan membuka barisan hadapan baru bagi memerangi Israel jika Israel terus mengganas di Gaza.
Kawasan sempadan di selatan Lebanon dikawal oleh askar Lebanon dan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak berakhirnya perang 34 hari antara Hizbullah dengan Israel pada 2006.
Konflik tersebut menyebabkan lebih 1,000 rakyat Lebanon dan 160 rakyat Israel terbunuh. - AP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment