Thursday, January 15, 2009

Perang Di Gaza: Dunia Arab Bertelagah - Utusan Melayu

KAHERAH 14 Jan. - Negara-negara Arab bertelagah sesama sendiri berhubung rancangan mengadakan sidang kemuncak untuk membincangkan krisis di wilayah Palestin sekarang.

Negara rantau Asia Barat yang besar seperti Mesir dan Arab Saudi yang menentang penguasaan Hamas ke atas Gaza, semalam menggesa ke arah gencatan senjata segera serta menyatakan kesediaan menghadiri sidang kemuncak Liga Arab di Kuwait pada minggu depan.

Cadangan Kuwait itu akan menggabungkan perbincangan mengenai serangan Israel ke atas Gaza, yang masuk hari ke-19 dengan sidang kemuncak ekonomi yang telah dirancangkan lebih awal.

Qatar pula meminta kesemua 22 anggota Liga Arab di Kaherah agar mengadakan sidang tergempar mengenai Gaza dan ia mendapat sokongan daripada Syria yang merupakan penyokong kuat Hamas.

Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Mussa memberitahu pemberita semalam bahawa pertubuhan itu menerima 12 persetujuan mengenai perlunya sidang kemuncak mengenai Gaza diadakan.

Namun, ramai diplomat yang mendakwa Mesir dan Arab Saudi merasakan sidang sedemikian tidak membuahkan hasil, malah memberi gambaran bahawa pemimpin Arab sebagai tidak cekap.

Pegawai Mesir turut menuduh Qatar dan Syria sebagai cuba mencari jalan untuk memalukan Kaherah.

Duta Arab Saudi ke Liga Arab sebelum ini pernah menyatakan rasa tidak senang dengan cadangan Qatar dan menyifatkannya sebagai 'bukan kepentingan terhadap perpaduan Arab' untuk mengadakan dua sidang kemuncak pada satu masa.

Mesir pada awalnya bersetuju untuk satu rundingan tidak rasmi antara pemimpin Arab dalam sidang kemuncak ekonomi di Kuwait pada 18 Januari ini dan Arab Saudi juga membuat keputusan serupa semalam.

- Reuters

Israel Larang Wartawan Asing Masuk Gaza - Utusan Melayu

EL-ARISH, Mesir 14 Jan. - Seramai 17 wartawan dan aktivis media yang 'bersenjatakan' buku nota dan pen menaiki sebuah bas menuju ke Rafah, semalam, kawasan yang memisahkan Mesir dan Gaza untuk mendesak pihak berkuasa membenarkan petugas media masuk ke wilayah itu.

Penganjur perjalanan tersebut, Pusat Kebebasan Media Doha, cuba menolak larangan tentera Yahudi yang tidak membenarkan koresponden asing membuat liputan, walhal mahkamah Israel sendiri memberi keizinan berbuat demikian.

Cubaan itu bagaimanapun gagal dan delegasi tersebut 'berundur' ke sebuah hotel dekat Al-Arish.

"Kami bersikap optimistik. Sekiranya kami dibenarkan masuk, ia adalah peluang kepada kerajaan Mesir untuk menunjukkan mereka bukan seperti yang dikatakan orang lain," kata ketua kumpulan hak asasi media tersebut, Robert Menad ketika dalam perjalanan balik dari sempadan.

Tambah Menad, mereka akan mencuba sekali lagi untuk merentasi sempadan hari ini.

Puluhan agensi berita antarabangsa turut mengeluarkan seruan bersama dengan kumpulan pemantau media global, Reporters Without Borders pada minggu lalu bagi mendesak Israel membenarkan wartawan asing masuk ke Gaza.

"Di Jenin, mereka tidak membenarkan sesiapa masuk menyebabkan khabar angin tersebar luas dan semakin luas," katanya merujuk kepada pertempuran askar Zionis dengan pejuang Palestin di Tebing Barat pada 2002.

Menurut Menad, keadaan itu berbeza sewaktu Perang Lebanon kerana wartawan dibenarkan masuk dan dapat melihat kesan buruk perang serta kecelaruan tentera.

"Kami percaya Zionis mendapati mereka akan kalah sebaik-baik akses dibuka atau ditutup," ujar Menad.

- AFP

Utara Israel Dibedil Roket Dari Arah Selatan Lebanon - Utusan Melayu

GAZA CITY 14 Jan. - Utara Israel dikejutkan dengan serangan roket dari arah selatan Lebanon semalam, kali kedua dalam tempoh tidak sampai seminggu.

Serangan itu berlaku ketika Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon tiba di Kaherah, Mesir dalam rangka lawatan ke rantau Asia Barat bagi menghentikan keganasan yang 'tidak boleh diterima' dan telah mencetuskan protes di seluruh dunia.

Mesir kini mengepalai usaha damai dalam peperangan di Gaza yang masuk hari ke-19, hari ini.

Pihak tentera Israel berkata, lebih 60 serangan udara dan laut dilancarkan sejak malam tadi dengan askar Israel berbalas tembakan dengan pejuang Hamas.

Saksi menjelaskan, jet-jet pejuang Israel telah berpuluh-puluh kali membedil Gaza dekat sempadan Mesir, menyebabkan penduduk lari menyelamatkan diri.

Namun, negara Yahudi itu dikejutkan dengan tiga serangan roket dari arah Lebanon awal hari ini, kali kedua dalam masa kurang seminggu, sekali gus meningkatkan kekhuatiran senario 2006 di selatan Lebanon berulang, apabila Israel melancarkan operasi tentera serentak ke atas Gaza dan juga Hizbullah.

Roket tersebut mengenai kawasan berhampiran bandar Kiryat Shemona, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

Pasukan keselamatan Israel telah melepaskan tembakan balas tidak lama kemudian.

Pada 8 Januari lalu, wilayah Israel dihujani serangan roket dari arah selatan Lebanon yang mencederakan dua askar Israel dan mencetuskan panik di kedua-dua belah sempadan.

Hizbullah menafikan penglibatannya dalam serangan roket pada 8 Januari lalu itu dan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai serangan hari ini.

- AFP

Haram Beli Produk Israel - Khamenei

TEHERAN 14 Jan. - Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei (gambar) hari ini mengeluarkan fatwa mengharamkan pembelian produk buatan Israel atau mengadakan sebarang urusan perdagangan dengan negara Yahudi tersebut.

Beliau mendesak semua umat Islam di seluruh dunia agar tidak membeli barangan yang akan memberi keuntungan kepada Israel.

Iran tidak mengiktiraf Israel dan tidak mempunyai hubungan dagang dengannya, namun fatwa terbaru itu turut dikenakan ke atas syarikat antarabangsa yang beroperasi di Iran dan luar Iran yang mana pemegang saham mereka adalah warga Israel.

Sementara itu, televisyen tempatan melaporkan, tentera laut Israel telah memintas sebuah kapal Iran yang menuju ke Gaza dengan bekalan perubatan, makanan dan pakaian serta mengarahkan kapal itu mengubah haluan ke pelabuhan Mesir.

Ketua kumpulan bantuan kemanusiaan yang menaja penghantaran tersebut, Ahmad Navabi berkata, kapal itu berada sekitar 30 kilometer dari Gaza sebelum dipintas dan diarah berpatah balik.

Kapal Shahed itu memulakan pelayaran dari pelabuhan Abbas di sini dua minggu lalu.

Ahmad menjelaskan bahawa bantuan tersebut akan cuba disampaikan melalui bantuan kemanusiaan melalui sempadan Rafah yang menghubungkan Mesir dengan Gaza.

- AP

Gambar Kekejaman Zionis Yahudi





Tuesday, January 13, 2009

Sekitar Gambar Kesengsaraan Rakyat Palestin

SERANGAN bom udara dilepaskan tentera Israel ke atas wilayah utara Gaza semalam.

SEORANG lelaki mengibarkan bendera putih kepada wanita yang cuba menyelamatkan anaknya ketika pasukan tentera simpanan Israel menyerang Zeitun, Gaza, semalam.

LELAKI Palestin mendukung anaknya yang berlumuran darah.

WANITA cedera parah dibawa ke Hospital Kamal Adwan di Beit Lahiya, utara Gaza, semalam.

SEORANG warga Palestin melecur seluruh muka dan badan akibat terkena bom fosforus yang dilepaskan tentera Yahudi di selatan Gaza, kelmarin.

RAKYAT Palestin yang menjadi mangsa kerakusan tentera Yahudi menerima rawatan di Hospital Nasser akibat terkena bom fosforus di selatan Gaza, semalam.

Beberapa penduduk Palestin mengangkat mayat seorang lelaki ke atas pedati selepas terbunuh dalam serangan udara tentera Yahudi di daerah Zeitun, semalam.

Hamas, Israel Mula Perang Psikologi - Berita Harian

BAITULMAQDIS: Pada awalnya ia tidak kelihatan sesuatu yang luar biasa apabila wajah kepemimpinan Hamas muncul di rangkaian televisyen pergerakan itu, tetapi kemudian mereka ditembak satu persatu sambil mesej dipancarkan yang memberi amaran kumpulan Palestin itu sudah kesuntukan masa.

Malah, ketika kereta perisai dan tentera darat Israel menceroboh jauh ke dalam Semenanjung Gaza dalam usahanya menghentikan pelancaran roket oleh pejuang ke wilayah Israel, perang turut disertakan dengan operasi psikologikal bertujuan melemahkan moral kedua-dua pihak.

Di stesen radio Voice of Jerusalem milik Jihad Islam di Semenanjung Gaza, penyampai, Kamal Abu Nasser, berkata sekurang-kurangnya sekali sejam, tentera Israel turut mengganggu isyaratnya dan menyiarkan mesej menyalahkan Hamas di atas masalah setiap orang.

Hamas pula berkata ia menyiarkan mesej pada walkie talkie tentera Israel yang mengancam untuk menculik dan membunuh tentera Israel. Tentera berkata, ia tiada maklumat mengenai perkara itu.

Nasib Sarjan Gilad Shalit, yang ditawan oleh pejuang dikaitkan dengan Hamas pada 2006 dan masih tidak tahu di mana dia berada, berulang kali ditimbulkan dalam siaran dan kenyataan Hamas, yang beberapa kali mengancam menculik lebih ramai tentera Israel.

Hamas cuba menyebarkan khabar angin ia sudah menculik beberapa tentera Israel. Tentera Yahudi pula berkata, sekurang-kurangnya satu cubaan berjaya dipatahkan.

Jurucakap tentera Israel, Brig Jeneral Ilan Tal, berkata beliau tidak akan memberi komen mengenai operasi psikologi Israel.

"Jika bercakap mengenai perang psikologi, kita perlu belajar daripada apa yang Hamas lakukan. Kami menjangkakan Hamas akan meneruskan khabar angin mengenai penculikan ketika keadaan semakin kritikal," katanya.

Muslihat Hamas berpanjangan ke medan perang ketika ia cuba memerangi tentera Yahudi yang semakin ramai.

Jurucakap tentera rejim Zionis, Mejar Avital Leibovich, memberitahu Associated Press, tentera Israel mendapati kawasan penempatan Gaza dipenuhi jerangkap samar, termasuk patung yang diletakkan di pintu masuk pangsapuri dan meletup apabila dimasuki tentera.

Tentera Israel membentuk unit operasi psikologi tiga tahun lalu walaupun usaha awalnya dalam perang Lubnan 2006 terhad kepada cuba melakar kartun sindiran pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah dan menggugurkan ia di selatan Lubnan. -AP