Friday, January 9, 2009

Hizbullah Bantu Hamas - Utusan Melayu

MUSNAH... Keangkuhan dan kekejaman rejim Zionis di bumi Palestin semakin melampau apabila sebuah masjid di Gaza musnah dalam satu malam sahaja selepas dibedil jet pejuang Israel.

Turut menjadi sasaran peluru berpandu rejim kejam itu ialah kawasan penempatan di Beit Lahiya, Utara Tebing Gaza yang mengorbankan lima jiwa.

Rakyat Palestin melihat keadaan sebuah masjid di Gaza, Palestin yang musnah dibedil jet pejuang Israel, semalam.

Tiga roket Katyusha dilancarkan ke utara Israel dari selatan Lebanon semalam, disusuli dengan tentera rejim Zionis membalas dengan tembakan mortar ke seberang sempadan.

Jet-jet pejuang Israel terus membedil Genting Gaza semalam dan kereta kebal negara Yahudi terus melepaskan tembakan ke arah pejuang Palestin, serangan yang disifatkan terburuk dalam tempoh 13 hari.

Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa menuduh tentera Israel gagal dan enggan membantu penduduk Palestin yang cedera terkena serangan mortar di sebuah penempatan awam di Gaza.

Puluhan ribu penduduk Palestin menghadapi risiko lemas dalam banjir najis kerana sistem kumbahan di Gaza yang terdedah kepada serangan udara Israel serta ketidakmampuan penduduk untuk mengoperasikan pam.

Hizbullah Balas Serangan Israel - Utusan Melayu

BEIRUT 8 Jan. - Tiga roket Katyusha dilancarkan ke utara Israel dari selatan Lebanon hari ini, disusuli dengan tentera rejim Zionis membalas serangan itu dengan tembakan mortar ke seberang sempadan Lebanon.

ORANG ramai membantu seorang penduduk Palestin yang cedera parah setelah kawasan rumahnya di Beit Lahiya, utara Genting Gaza dibedil peluru berpandu tentera rejim Israel, semalam.

Pertempuran singkat itu adalah yang pertama di kawasan sempadan Israel-Lebanon sejak Israel mula melancarkan serangan besar-besaran ke atas kedudukan Hamas di Genting Gaza pada 27 Disember lalu, dalam keganasan yang telah membunuh lebih 700 rakyat Palestin.

Sementara itu, Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) menghentikan semua operasi bantuan di Genting Gaza berikutan serangan tentera Yahudi yang semakin mengganas.

Serangan Israel hari ini turut mengorbankan dua orang pekerja bantuan UNRWA dalam satu konvoi bantuan, hari ini.

Sekolah yang diuruskan UNRWA turut musnah dibedil Israel mengorbankan 48 orang kelmarin.

Dalam pada itu, media Israel lewat hari ini melaporkan pejuang Palestin di Lebanon melancarkan satu lagi serangan roket ke utara Israel.

Belum dapat dikenal pasti pihak yang melancarkan roket dari Lebanon itu dan sama ada insiden tersebut menandakan permulaan konflik lebih luas.

Namun, pertempuran itu sudah pasti meningkatkan ketegangan antara pergerakan Hizbullah di Lebanon dengan Israel, selepas kedua-dua pihak sejak beberapa hari lalu hanya menyuarakan ancaman terhadap satu sama lain tanpa melancarkan serangan.

Kerajaan Lebanon sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pihak yang melancarkan roket tersebut.

Pegawai Beirut berkata, roket Katyusha itu dilancarkan ke Israel dari kawasan di sebelah utara Kampung Naqoura di tepi pantai Lebanon.

Tentera Israel membalas serangan itu dengan melepaskan enam tembakan mortar ke selatan Lebanon tetapi belum ada laporan mengenai kemalangan jiwa.

Stesen televisyen melaporkan, peluru mortar itu mengenai sebuah lembah dekat sebuah kampung kira-kira tiga kilometer ke utama sempadan Israel.

Polis Israel berkata, sekurang-kurangnya tiga roket mengenai kawasan di sekitar pekan Nahariya, utara Israel pada pagi ini.

Pasukan penyelamat melaporkan sekurang-kurangnya seorang cedera ringan.

Belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab melancarkan roket tersebut.

Hizbullah yang merupakan sekutu rapat Hamas tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan stesen televisyennya hanya menyiarkan laporan mengenai insiden pertempuran itu.

Beberapa kumpulan pejuang Palestin juga berpangkalan di Lebanon.

Barisan Rakyat bagi Pembebasan Palestin-Pemerintah Am memberi amaran akan membuka barisan hadapan baru bagi memerangi Israel jika Israel terus mengganas di Gaza.

Kawasan sempadan di selatan Lebanon dikawal oleh askar Lebanon dan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak berakhirnya perang 34 hari antara Hizbullah dengan Israel pada 2006.

Konflik tersebut menyebabkan lebih 1,000 rakyat Lebanon dan 160 rakyat Israel terbunuh. - AP

Gaza Terus Dibedil, AS Sokong Gencatan Senjata - Utusan Melayu

GENTING GAZA 8 Jan. - Jet-jet pejuang Israel terus membedil Genting Gaza hari ini dan kereta kebal negara Yahudi itu terus melepaskan tembakan ke arah pejuang Palestin ketika Amerika Syarikat (AS) menyokong usul gencatan senjata yang mungkin menamatkan konflik berkenaan.

Penduduk Gaza menyifatkan serangan Israel malam tadi di bahagian timur bandar ini sebagai yang paling dahsyat sejak 13 hari lalu, sementara di kawasan selatan, barisan kereta kebal Israel mara ke arah bandar Khan Younis.

Walaupun Israel meneruskan serangan, ia menyatakan telah menerima 'prinsip' cadangan gencatan senjata oleh Eropah-Mesir, malah AS sendiri mendesak Israel mengkaji cadangan tersebut.

"Kami menyokong inisiatif tersebut. Saya telah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan dari negara-negara Arab dan juga Israel mengenai kepentingan gencatan senjata," kata Setiausaha Jabatan Negara AS, Condoleezza Rice.

Serangan Israel diteruskan selepas dihentikan seketika semalam bagi membantu 1.5 juta penduduk Gaza untuk mencari bekalan yang diperlukan.

Ia adalah "waktu rehat" pertama dalam serangan yang masuk minggu kedua dan telah meragut lebih 700 nyawa penduduk Palestin.

Namun dengan usia pentadbiran Presiden AS, George W. Bush yang tinggal beberapa hari saja lagi dan bakal pengganti beliau, Barack Obama yang menyeru ke arah keamanan, pegawai menyatakan, Israel akan menghantar wakilnya ke Kaherah untuk membincangkan bagaimana usul oleh Mesir dapat dilaksanakan.

Proses ini memakan masa beberapa hari dan pada ketika ini komander tentera Israel memperhebat serangan darat walaupun keputusan melancarkan fasa baru serangan ke atas pejuang dibatalkan.- Reuters

Tel Aviv Musnah 40 Terowong Rahsia Di Rafah - Utusan Melayu

GAZA CITY 8 Jan. - Sekurang-kurangnya 40 sasaran yang disyaki terowong rahsia di sempadan Gaza dan Mesir telah dimusnahkan oleh pesawat tentera Israel sejak malam tadi.

Kebanyakan serangan dilancarkan ke atas Rafah yang sebelum ini diancam akan diserang oleh Israel, dan juga bandar Khan Younis.

Israel juga meneruskan serangan di utara Genting Gaza yang padat dengan penduduk.

Di Rafah, serangan pertama dilaporkan berlaku pada pukul 1 pagi (7 pagi waktu Malaysia) apabila sebuah rumah dan sebuah terowong rahsia dibedil. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Tengah hari semalam, pesawat Israel menggugurkan puluhan ribu risalah di kawasan Rafah memberi amaran supaya mereka meninggalkan rumah masing-masing atau berdepan dengan serangan udara.

Penduduk diberitahu bahawa mereka boleh kembali ke rumah masing-masing pada pukul 8 pagi (pukul 2 petang waktu Malaysia).

Israel menganggarkan kawasan Rafah mempunyai kira-kira 300 terowong rahsia sementara penduduk tempatan memberitahu bahawa 500 laluan bawah tanah wujud dari Gaza ke Mesir.

Ia digunakan untuk membawa masuk bekalan makanan, bahan api dan juga senjata api sejak Hamas merampas kuasa pada Jun 2007.- AFP

10,000 Penduduk Palestin Diancam Banjir Najis - Utusan Melayu

BAITULMAQDIS 8 Jan. - Puluhan ribu penduduk menghadapi risiko lemas dalam banjir najis kerana sistem kumbahan Gaza terdedah kepada serangan udara Israel serta ketidakmampuan penduduk untuk mengoperasikan sistem pam kumbahan.

Bank Dunia dalam kenyataannya semalam berkata, pam yang memindahkan kumbahan dari kolam takungan najis ke fasiliti tapisan di utara Gaza tidak beroperasi akibat kekurangan elektrik dan minyak.

Pam tersebut penting untuk mengurangkan tekanan tinggi yang ditanggung oleh dinding loji kumbahan di Beit Lahiya yang turut berdepan dengan ancaman impak letupan serta hujan lebat.

"Struktur takungan najis menghadapi risiko pecah menyebabkan kira-kira 10,000 penduduk mungkin maut dan boleh menimbulkan masalah alam sekitar dan bencana kesihatan awam," demikian menurut kenyataan itu lagi.

Pada Mac 2007, lima orang penduduk Palestin terbunuh akibat banjir kumbahan yang turut menyebabkan 1,500 yang lain kehilangan tempat tinggal apabila dinding takungan najis runtuh.

Bank Dunia turut menekankan mengenai kekurangan bekalan air minuman dengan utiliti air hanya cukup untuk beroperasi selama sehari, namun bekalan tidak dapat disambung sekiranya serangan Israel berterusan.- AFP

Penyelamat Dihalang Bantu Mangsa - Utusan Melayu

GENEVA 8 Jan. - Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) semalam menuduh tentera Israel gagal dan enggan membantu mangsa yang cedera terkena serangan mortar di sebuah penempatan awam di Gaza.

Menurut kenyataan jurucakap ICRC, tindakan tentera Yahudi itu melanggar hak undang-undang kemanusiaan.

"Mereka gagal menyelamat malah bertindak menghalang para pekerja penyelamat membantu mangsa yang cedera.

"Tindakan itu membuktikan mereka tidak menghormati undang-undang kemanusiaan malah gagal membantu walaupun lokasi kejadian hanya kira-kira 100 meter dari markas utama tentera Israel," katanya.

Dalam kejadian itu, ICRC dan Pasukan Bulan Sabit Merah Palestin menemui 12 penduduk Palestin maut dan sekurang-kurang 19 cedera termasuk empat kanak-kanak.

Sementara itu, Ketua Delegasi ICRC Israel-Palestin, Pierre Wettach berkata, tentera Israel perlu menyedari peranan mereka sebagai pasukan keselamatan namun mereka tidak bertindak untuk membantu mangsa.

"Mereka hanya melihat tanpa melakukan sesuatu untuk membantu mangsa yang cedera," katanya.- AFP

HAMAS Tolak Resolusi Majlis Keselamatan Yang Berat Sebelah - Berita Harian

BEIRUT: Hamas menolak resolusi gencatan senjata Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana tidak menepati kepentingan rakyat Palestin ketika Israel terus melancarkan serangan udara terhadap Gaza.

Pegawai Hamas, Raafat Morra, berkata resolusi itu tidak mengambil kira aspirasi rakyat Palestin.

Majlis Keselamatan PBB, lewat malam tadi meluluskan resolusi menggesa gencatan senjata segera oleh Israel dan Hamas bagi menghentikan konflik sejak dua minggu lalu yang sudah mengorbankan hampir 800 rakyat Palestin.

Di Gaza, seorang pegawai kanan Hamas berkata pergerakan itu tidak mempedulikan resolusi berkenaan kerana ia tidak mengambil kira pandangan rakyat Palestin.

“Walaupun kami adalah watak utama di Gaza, kepentingan dan wawasan kami tidak diambil kira," katanya.

Sementara itu, Israel melancarkan lebih 50 serangan udara di Gaza sejak semalam yang membunuh 12 orang awam.