Sunday, December 28, 2008

Seluruh Dunia Kutuk Serangan Israel

BRUSSELS 28 Dis. - Kuasa-kuasa dunia mengutuk serangan udara Israel semalam dan menuntut keganasan dihentikan segera ke atas kedudukan pasukan keselamatan Hamas di Genting Gaza, sebagai membalas serangan roket oleh pejuang Palestin itu.

Di Asia Barat, Liga Arab menyalahkan rejim Yahudi itu sementara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menuduh Israel melakukan "jenayah perang" kerana tidak menghiraukan nyawa penduduk awam Palestin.

Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Mussa mahu Menteri-Menteri Luar negara Arab mengadakan mesyuarat tergempar di Kaherah hari ini bagi membincangkan serangan Israel itu.

Kesatuan Eropah (EU), Rusia dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menggesa kedua-dua pihak segera menghentikan keganasan.

Ketua dasar luar EU, Javier Solano berkata, tindakan Israel itu akan hanya memburukkan lagi krisis kemanusiaan selain merumitkan usaha mencari penyelesaian secara damai di rantau itu.

EU menggesa supaya semua pintu keluar dari Gaza dibuka semula dan penghantaran bekalan bantuan dan bahan api ke wilayah itu dipulihkan.

EU juga mendesak Israel menarik balik sekatan terhadap kemasukan pertubuhan kemanusiaan antarabangsa, wartawan dan diplomat ke Gaza.

Sementara itu, Kementerian Luar Rusia mendesak Israel "menghentikan segera penggunaan kekerasan secara besar-besaran ke atas Genting Gaza."

- AFP

No comments: