Tuesday, November 11, 2008

Pentadbiran & Pihak Berkuasa Palestin

Deklarasi Prinsip-prinsip Persetujuan Pemerintahan Sendiri Sementara yang ditandatangani antara Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Washington, D.C. pada 1993 telah mengasaskan sebuah badan pemerintahan kawasan Palestin sementera yang dikenali sebagai Pihak Berkuasa Palestin (PNA). Israel telah menyerahkan kuasa pentadbiran kepada PNA sedikit demi sedikit menerusi satu siri perjanjian. Dalam Perjanjian Kaherah 1994, Jaluran Gaza dan bandar Jericho diserahkan, dan kawasan-kawasan lain Tebing Barat kemudian dalam Perjanjian Sementara 1995, Protokol Pengerahan Semula Tentera di Hebron, Memorandum Sungai Rye 1998 dan Perjanjian Sharm el-Sheikh 1999.

Perundingan untuk menentukan status tetap Jaluran Gaza dan Tebing Barat diberhentikan pada 2000 akibat Intifada Kedua. Kuartet Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah dan Rusia telah mencuba menggerakkan semula perundingan pada 2003 melalui satu "Jalan Keamanan" tetapi gagal akibat keganasan yang terus di kawasan-kawasan Palestin.

Presiden PLO dan PNA Yasser Arafat, seorang penggerak utama rundingan keamanan, meninggal dunia pada 2004, dan beliau digantikan oleh Mahmoud Abbas. Israel di bawah Ariel Sharon telah mengeluarkan tenteranya dari empat petempatan Tebing Barat pada 2005.

Dalam Pilihan Raya Umum Palestin 2006, Hamas membuat kejutan besar dengan memenangi majoriti dalam Majlis Perundangan Palestin. Kerajaan Hamas tidak diiktiraf oleh masyarakat dunia kerana ia enggan mengiktiraf kemerdekaan negeri Israel, dan akur kepada perjanjian-perjanjian silam yang dimeterai antara Israel dan PNA.

Rampasan kuasa oleh Hamas di Gaza pada Jun 2007 telah mengehadkan kuasa Fatah dan PLO di Tebing Barat. Sejak akhir tahun 2006, Majlis Perundangan Palestin tidak dapat bersidang kerana penahanan ramai ahli majlis oleh Israel dan sekatan pergerakan yang dikenakan oleh Israel terhadap ahli majlis lain.

Pentadbiran

Perjanjian Oslo 1993 telah menentukan sistem pentadbiran Tebing Barat sementara:

Kawasan

Pihak
Pentadbiran
Peratus
Keluasan
Tebing Barat
Peratus
Penduduk
Palestin
A
Pihak Berkuasa Palestin 17% 55%
B
Israel dan PNA 24% 41%
C
Israel 59% 4%

"Kawasan A" merupakan bandar-bandar penduduk Palestin di utara (Jenin, Nablus, Tubas dan Tulkarm) dan selatan (Hebron dan Salfit). "Kawasan B" merupakan merupakan kawasan yang berada di tengah Tebing Barat (berdekatan dengan Baitulmuqaddis. "Kawasan C" pula merupakan petempatan Yahudi serta Lurah Jordan dan Gurun Judea.

PNA mempunyai kuasa sepenuh terhadap Kawasan A, dan kuasa bersama dengan pihak Israel di Kawasan B. Manakala Israel mempunyai kuasa penuh di Kawasan C. Israel masih menguasai jalan raya, paip air, kawasan udara dan kawasan sempadan luar.

No comments: